Thursday, July 24, 2014

Falsampah Pendidikan Negara

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani.
Usaha ini  bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berketerampilan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia serta dapat mewujudkan kesejahteraan diri dan memberi sumbangan terhadap kesejahteraan masyarakat dan negara."

Sumpah, aku tulis Falsampah Pendidikan Negara di atas tanpa rujuk mana-mana sumber.  Aku dah hafal benda ni sejak umur 16 tahun masa form 4.  Power, dah nak 24 tahun aku hafal.  Cikgu Kimia aku masa tu entah apa punya giler, dia suruh hafal benda ni yang tertera di dinding sekolah blok depan sekali.

+++

Itu hari masa lepas sahur dalam pukul 3-4 pagi sambil nak tunggu nasik lauk sardin sama telur dadar hadam, aku bual-bual kejap dengan Alia.  Perut penuh, sambung tidur tak baik kata orang.

"Amacam, dah prepare ke nak exam nanti?" aku tanya Alia.

"Ok je la pa...tapi sekarang ni kelam kabut la, format baru PT3 ni...cikgu-cikgu Alia semua tension, nak kena buat baru semua benda...lagipun kerajaan tak adil la, bulan 5 hari tu baru tahu kitorang kena exam format baru, masa tingkatan 1, 2 belajar format PMR....bla bla bla  Pulak tu sekarang instrumen pelbagai untuk subjek Sejarah dan Geografi.  Kena guna sumber rujukan...kesian kawan-kawan Alia yang takde internet...Alia kesian dengan Jamaica, dia hantar assignment paling nipis tau...macam mana la budak-budak pilak nak lulus periksa...blablabla" terang Alia panjang lebar.

"Sabarlah...cuba la elok-elok" aku jawab slow.

"Ada ujian lisan nanti tau..." tambah Alia lagi.

"Takpe laa...ujian lisan main cakap-cakap je, Alia sejak kecik dah pandai cakap..." aku jawab sambil mata pandang tv.

+++

"Semua, semua yang kita ketahui dalam hidup ini adalah hasil dari pendidikan.  Tata cara bertutur kata, bergaul pria wanita, berbaju, menggaruk kalau gatal, atau berjoget dangdut, semuanya akibat dari pendidikan.  Maka, jika ada yang tak beres dengan tabiat umat di republik ini, itu adalah tanggungjawab menteri pendidikan!!"

Petikan novel Cinta Dalam Gelas - Andrea Hirata.

+++

pilak   =  panggilan untuk pendatang dari Filipina.
kurau = pendatang dari Semenanjung Malaysia.

Friday, June 13, 2014

Hero Bola Nombor 1.

Semua hal yang aku ingat tentang abah sewaktu aku kecil adalah biasa dan samar.  Sesamar foto hitam putih yang ada dalam album di kampung.  Tapi, dari foto hitam putih itulah aku tahu abah aktif main bola masa muda.    Ada macam-macam gambar abah dengan pasukan bola sepaknya.  Gambar abah dengan pasukan bola sepaknya lawan pasukan orang putih pun ada.  Sosok tubuh abah berdiri megah sambil tersenyum nipis.  Itu semasa abah berkhidmat dalam tentera dulu.  Tapi, aku tak pernah tanya abah main di posisi mana.  Dia pula tak pernah bercerita.

Bila pencen askar tahun 1975, abah buat keputusan masuk Felda Sungai Koyan, dalam Daerah Kuala Lipis, Pahang.  Umur abah masa tu dalam 40 tahun, umur aku baru 8 bulan.  Ikut kata mak, mulanya abah dah bersihkan satu lot tanah nak buat rumah di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.  Tanah haram.  Tapi tawaran masuk felda lebih mengujakan abah.  Entah apa yang indah, tak pernah aku tanya.

Hidup di Felda adalah rutin.  Pagi pergi kebun kelapa sawit sampai tengahari.  Petang lepak minum, dan ceritanya kenangan-kenangan waktu jadi askar dulu.  Rata-rata peneroka Felda Sungai Koyan adalah bekas askar.  Pernah beberapa kali aku ikut abah lepak minum di kedai petang-petang.  Abah dan kawan-kawannya berbual cerita masa jadi askar.  Cerita pengalaman jadi tentera pengaman di Congo, cerita bertempur dengan komunis, cerita kawan mati kena tembak, cerita jumpa binatang buas di hutan dan cerita Tragedi 13 Mei.  Itulah cerita yang diulang-ulang saban petang. 

Kadang-kadang, kalau ada perlawanan bola sepak antara belia kampung aku lawan belia kampung berhampiran, abah akan bawak aku ke padang.  Waktu itu, kalau ada perlawanan bola sepak, padang kampung akan bertukar jadi tapak pesta.  Ada jual air sirap bungkus dan buah potong.  Penduduk Sungai Koyan akan memenuhi padang, sambil bersorak menyokong pasukan.  Itu saja hiburan yang ada sebenarnya. Pekan terdekat, Kuala Lipis dan Raub terletak 50-60 km jaraknya.  Jalan masih belum diturap.  Antara memori terawal, walau cuma samar-samar, aku, emak dan abah naik motorsikal berkuasa rendah, Honda C70 ke pekan Raub.  Perjalanan hampir 60km yang amat panjang dan menyeksakan.  Jalan berdebu dan berlubang-lubang.

Biasanya, sebelum perlawanan bola sepak, akan datang wakil pemuda kampung ke rumah.
"Pak Ali, boleh tolong jadi pengadil?" ayat yang paling seronok aku dengar. Tak ramai yang boleh jadi pengadil.  Abah dan Arwah Pakcik Sharif Berok yang selalu jadi pengadil.  Arwah Pakcik Sharif, bela berok di rumahnya, sudahnya lekat nama Sharif Berok. 

Usai Asar, abah akan mula bersiap. T-Shirt berkocek di dada kiri jadi pilihan.  Tempat dia letak kad kuning dan merah.  Sebelum ke luar rumah, abah takkan lupa wisel besi bertali hijau yang tergantung di belakang pintu. Wisel bertukar posisi gantung, dari belakang pintu ke leher abah.  Akhir sekali, abah akan sarung kasut kain berstud 12 warna hitam jenama Gold Cup made in China sebagai pelengkap kostum pengadil bolasepak.  Segak.  Itulah juga kasut yang abah pakai ke ladang kelapa sawit. 

Bolasepak adalah satu kegilaan sebenarnya.  Selain agama, bolasepak boleh mewujudkan pelampau dan fanatik.  Pernah beberapa kali abah hampir di pukul peminat bola sepak atas keputusan-keputusan yang dibuatnya.  Memberi kad merah misalnya, atau membatalkan jaringan kerana off side.  Aku di tepi padang sentiasa berdebar tiap kali insiden semacam itu berlaku.  Itu saja abah yang aku ada.

Biasanya habis perlawanan abah dapat upah.  Wakil pasukan akan datang jumpa abah bagi duit. Kadang-kadang 10 ringgit, kadang-kadang 15 ringgit, pernah juga 5 ringgit.  Abah masukkan duit dalam kocek di dada kirinya sambil tersenyum.

"Jom balik, dah nak maghrib" kata abah.

Di atas motosikal berkuasa rendah, aku peluk abah.  Dia johan satu dunia. Hero bola nombor 1.

Friday, May 9, 2014

Babi bodoh...

Masa kecik, umur dalam 2 tahun, Lutfil tinggal rumah pengasuh.  Pengasuh tu ada 2 orang anak lelaki yang besar sikit dari Lutfil, umur dalam 4 dan 5 tahun.  Tak beberapa lama ditinggalkan dengan pengasuh, Lutfil belajar frasa baru dalam percakapannya.  Perbendaharaan katanya semakin bertambah.  Tiap kali Lutfil marah atau ada yang dia tak puas hati masa main-main dengan Alia di rumah, Lutfil akan cakap, "Babi...bodoh".

Berebut mainan, "Babi...bodoh".
Berebut remote tv, "Babi...bodoh"
Kena tepuk dengan Alia, "Babi...bodoh"
Jatuh tersadung kaki kerusi, "Babi...bodoh"

Pendek kata, "Babi..bodoh" akan dituturkan dalam banyak hal yang tidak memuaskan hatinya. Aku syak, dia belajar perkataan tu dari rumah pengasuh.  Aku cuba tegah, tapi tak berapa nak jalan.

Satu hujung minggu yang indah, aku bawak Lutfil berjalan-jalan ke Subang Parade.  Di tingkat bawah, ada kedai elektrikal.  Tipikal kedai elektrikal, belah depan mesti letak tv macam-macam saiz model terkini pelbagai jenama pasang dvd sambil promote sound system sekali.

Kali ini kedai elektrikal tersebut menjadikan dvd cerita  "Babe: Pig In The City" sebagai wadah mempromosi barangan audio videonya.  Maka, watak babi comel pink colour menghiasi semua peti tv yang ada di kedai elektrikal tersebut.
 
"Lutfil selalu cakap babi bodoh babi bodoh...haa, ini laa babi" sambil jari aku menuding ke arah watak babi comel pink colour yang berlari-lari dengan seekor angsa putih.

"Oooo...ini BABI, BODOH mana??" balas Lutfil.

Kahkahkah aku ketawa kaw kaw sampai berair bijik mata tak pedulik orang keliling.

++++

Esok birthday Lutfil.  14 tahun.  Cepat betul.  Belum puas rasanya menjawab soalan-soalan bodohnya...

Tuesday, March 18, 2014

Kecewa...

Petang tadi Lutfil call. Tiba-tiba. Tak pernah dia call weekdays. Biasa call weekend suruh datang asrama bawak air kotak.

"Apa hal" soal aku.
"Saje..ada soalan ni..." tambah Lutfil.
"Apa?"
"Sape menang MU lawan Liverpool hari tu?" soalan Lutfil bernada nervous.
"Liverpool la...3-0!!" aku jawab bernada riak tahap tinggi.
"Astaga..." Lutfil bernada kecewa.
"Sape suruh kau sokong MU??..Papa suruh sokong Liverpool tak mau, pasukan bola sepak terkuat di dunia kahkahkah" aku ketawa puas.

Lain kali kalau tak nak kecewa dalam hidup, jangan lawan cakap orang tua hehe.